Tajuk
Buku: Outliers, The Story of Success
Penulis:
Malcolm Gladwell
Outliers merupakan
sebuah buku yang mengupas tentang faktor-faktor yang menyebabkan kejayaan
seseorang dengan meneliti corak dan mengambil contoh daripada sukan, personaliti
terkenal dan dari pelbagai lapisan masyarakat.
Gladwell menyakal
pendapat bahawa kejayaan seseorang adalah atas usaha diri sendiri semata-mata
tanpa bantuan pihak lain, bahkan mengusulkan bahawa kejayaan adalah merupakan hasil
daripada kelebihan terkumpul (accumulated
advantage).
Pada awal buku,
Gladwell menekan tajuk ini dengan mengusulkan bahawa bermula dengan hanya
dengan satu kelebihan, boleh digunakan sebagai pemangkin untuk kejayaan dalam
bidang masing-masing. Sebagai contoh, Gladwell memperkenalkan Hukum 10,000 jam (The
10,000 Hour Rule) untuk menjelaskan
tentang kejayaan beberapa personaliti terkenal seperti Bill Gates dan The
Beatles. Bill Gates contohnya, memanfaatkan peluang pengenalan komputer pada
tahun 1968 untuk mempelajari tentang pengaturcaraan (programing) komputer secara percuma. Dengan kelebihan usia muda, beliau
dapat mengumpul pengalaman sehingga mencapai 10,000 jam (secara kasar, +- 10
tahun pengalaman). Untuk membuktikan idea ini, Gladwell turut mengkaji tentang
faktor kejayaan pemain piano dan violin bertaraf dunia. Ternyata, mereka juga
turut mematuhi Hukum 10,000 Jam. Bagi Gladwell, ini merupakan garis yang antara
berjaya dan gagal. Mereka memanfaatkan peluang yang ada, sanggup untuk
membelanjakan lebih masa berbanding orang lain. Untuk kejayaan terhasil, juga
turut memerlukan sokongan dan pengorbanan yang bukan sekadar di mulut.
Gladwell
juga turut mengupas berkenaan kebolehan praktikal sebagai parameter kejayaan
yang mana bagi Gladwell adalah lebih tepat dan logik daripada parameter IQ
semata-mata. (Rujuk Genetic Studies of
Genius karya Lewis Terman) . Beliau menegaskan bahawa, biarpun IQ mencapai
200, genius mana sekalipun manusia, tanpa kebolehan praktikal kita semua adalah
sama. Kebolehan praktikal bagi Gladwell adalah kreativiti genius-genius ini
dalam kehidupan, contohnya seperti:
- Skil dalam berkomunikasi
- Kemampuan memimpin
- Membuat keputusan pantas.
(Dan
banyak lagi contoh lain yg boleh diketengahkan……)
Mengambil daripada
hasil kajian Lewis Terman, kejayaan pelajar-pelajar genius dalam kajian beliau
bukanlah disebabkan oleh IQ yang tinggi semata-mata, tetapi juga turut
merangkumi latar belakang kehidupan. Mereka yang berada dalam persekitaran yang
sentiasa menggalakkan kejayaan akan lebih cenderung untuk berjaya.
Gladwell turut mengolah
lagi faktor masyarakat dalam membentuk kejayaan dengan mengambil contoh dari
bangsa China. Dahulu hingga kini, petani di China menanam padi untuk menampung
keluarga. Pekerjaan menanam padi menuntut usaha yang keras dan berterusan: dari
menyediakan tanah delta sungai untuk benih tumbuh, menjaga benih supaya tidak
mati hinggalah mengaut hasil. Ini secara tidak langsung, membentuk mentaliti
mereka kerja keras dalam masyarakat China. Dengan kerja keras, mereka dapat
menghasilkan kualiti padi terbaik dan terbanyak dalam bendang sawah padi yang
sama. Bahkan, hasil dari pemerhatian Gladwell mendapati banyak peribahasa China
yang amat menyerupai mentaliti kerja keras pesawah padi China. Contohnya:
“Pada
musim sejuk, orang yang malas mati kesejukan.”
“Tiada
makanan tanpa darah dan peluh.”
Secara
tidak langsung, masyarakat China telah dibiasakan dengan kerja keras dalam
hidup mereka. Bahkan hasil pemerhatian Gladwell turut mendapati kebanyakan
rakyat China yang melanjutkan pelajaran ke luar negara adalah dari selatan
China, kawasan yang majoritinya adalah pesawah padi.
Kesimpulannya,
Gladwell ingin membuktikan bahawa kejayaan tidak akan datang secara tiba-tiba
mahupun dari usaha seorang diri. Permulaaan untuk sebuah kejayaan adalah
bermula dari kosong, terbina secara sedikit demi sedikit dan menjadi kelebihan
yang terkumpul (cumulative advantage)
dari pelbagai faktor seperti kemampuan untuk berkorban, kerja keras, mencari
dan memanfaatkan peluang dan sokongan dari masyarakat sekeliling. Tiada
kejayaan datang tanpa usaha dan pengorbanan.
(Boleh didapati di kedai-kedai buku utama di Malaysia)
