SELAMAT DATANG

Kebaikan itu boleh dilihat oleh yang buta, boleh didengar oleh yang tuli, boleh dirasa oleh Si Kosong.

Friday, 21 March 2014

Polis agama

Dakwah ini menakutkan?

Kebelakangan ini, aku ada melihat beberapa karenah dalam kalangan para da'ie ini yang menyebabkan aku rasa mahu sedikit mencoret idea. Bukan mahu mendedahkan keburukan para da'ie, apatah lagi menjauhkan mad'u dari dakwah kita, tapi mari bercermin dengan tindakan dari sebahagian kita supaya berlaku perbaikan:
  1. A (bukan nama sebenar, letaklah nama yang anda suka) menyebarkan khabar berita melalui laman sosial (FB, Twitter, sembang kencang etc) kepada semua supaya menjauhkan diri dan berhati-hati dengan B (juga bukan nama sebenar, dari jama'ah lain kot) kerana bimbang nanti terpedaya dengan ayat-ayat padu dan mantap B yang akan menyebabkan mad'u akan meninggalkan usrah/halaqoh/bulatan gembira A dan join usrah/halaqoh/bulatan gembira B. Fakta menarik lagi: A dan B tak pernah bertemu muka pun, bersembang pun tak pernah!
  2. Datang ke surau/kelas/taman (tempat berkumpul) dan menghalang usrah/halaqoh/bulatan gembira yang sedang berjalan dengan alasan berikut: kena ada kebenaran, tak rasmi, tak berdaftar (sama la tuh), mengganggu, "depa ini dari jama'ah ana" etc.
Perangai pelik budak-budak nih....

Pengajaran dari Surah Al Imran, ayat 110 (3:110)

Allah SWT mengajarkan kepada kita, bahawa umat terbaik itu umat yang bergerak, bukan duduk diam, memerhati dan membiarkan tindakan orang lain. Bergerak untuk mencegah kemungkaran dan mengajarkan kebaikan kepada semua. Cara untuk mengajak kepada kebaikan terpulang kepada masing-masing: nak buat usrah/halaqoh/bulatan gembira, nak buat jaulah/kembara/rombongan, nak iftar/dinner bersama-sama/makan luar/belanja makan, nak buat dauroh/program/seminar. Buatlah, sebanyak mungkin selagi mampu kerana umat terbaik akan sentiasa sibuk untuk berbuat, bukan sekadar sembang kencang, melangit tapi habuk pun tarak!

Contoh yang dikemukan diatas adalah amat pelik. Kita mengatakan kita adalah seorang da'ie, tapi kemudiannya kita menghalang orang lain untuk berbuat dan menyebarkan kebaikan. Usrah/halaqoh/bulatan gembira perkara mungkar, jadi perlu dihalang? Idea datang dari siapa kalau bukan setan dan iblis? Kalau dalam contoh 1, lebih dahsyat kerana semuanya dibuat atas dasar sangkaan semata-mata!

Patutlah mad'u lari bila diajak sama-sama, bahkan menjauh dari orang-orang yang mahu beragama dan mengambil jurusan agama. Bila hendak turut serta, difitnah, ditakut-takutkan dengan pelbagai tuduhan. Bahkan, yang menuduh adalah seorang da'ie (atau sekadar mengaku da'ie) juga!

Inikah kerja umat yang terbaik, menakut-nakutkan manusia dari kebaikan? Sedangkan kemungkaran bertebar ke pelosok masyarakat. Katanya da'ie ini adalah doktor, nak memberi ubat tapi sebenarnya meracun supaya masyarakat mati tak makan ubat doktor lain. Begini cara kita nak 'merawat' umat? Jika jawapannya adalah YA, maka patutlah masyarakat ini makin hancur.

Patutlah dakwah ini menakutkan, kerana sekarang kita menjadi polis agama. Betul dan salah, semua atas kata dan sangkaan semata-mata.

Pendangan baru untuk sebuah cerita lama.
Setakat pengalaman aku, tak pernah lagi aku mendengar mana-mana jama'ah/pergerakan berdakwah bukan kerana Allah SWT. Semuanya sepakat mengatakan bahawa dakwah adalah untuk Allah SWT, mengajak manusia kepada Allah SWT, sebagai jalan untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Ruh dakwah kita adalah sama!

Ada perbezaan yang kita boleh toleransi dan ada perbezaan yang kita langsung takkan toleransi.

Contoh untuk yang kita boleh toleransi, cara berdakwah kita. Lagi banyak cara, lagi ramai kelompok manusia yang kita boleh sentuh. Manusia berbeza-beza kecenderungannya. Kenapa ada yang boleh terima Mat Luthfi menyampaikan mesej melalui video, tapi tak boleh terima kalau Ustaz yang sampaikan? Untuk difikirkan. Contoh untuk yang kita takkan toleransi, mengajak manusia tapi dengan tujuan selain Allah SWT (akidah lain, untuk meramaikan ahli jama'ah/pergerakan, pangkat, harta etc). Dalam hal ini, insya Allah kita akan sepakat untuk tolak, kerana memang kita akan mencegah yang mungkar.

Dengan cara yang berbeza-beza kita gunakan, cukuplah dengan Allah SWT tujuan kita. Tak malukah kita pada Allah SWT yang menjadikan perbezaan sebagai suatu rahmat dariNya? Sedang kita pula, kerana perbezaan yang kita boleh toleransi, kita merosakkan amal-amal kita dengan bergaduh sampai mengkafir orang lain! Akhirnya musuh-musuh kepada Islam yang gelak besar melihat para da'ienya bergaduh!

Allah SWT yang lebih tahu antara kita semua siapa yang lebih benar (13:71). Jadi kerja kita sekarang bukan saling menjatuhkan. Kita kena berusaha, sedang kita masih berada dalam jalan kebenaran kita bekerja supaya kita akan menjadi yang paling atas. Kita berlumba supaya menjadi yang terbaik dalam yang kalangan yang baik (3:138). Kita yang memerlukan Allah SWT, jadi jangan dirosakkan lagi amal-amal kita....

Maaf andai tulisan ini punya kesalahan. Aku cuma ingin sampaikan secara terbuka, moga kita boleh saling memperbaiki dan membangun bangunan dakwah yang kukuh. Aku rindu pada da'ie yang sentiasa berbuat yang terbaik untuk dakwah. Aku bukan mahu menyatakan aku paling benar, cuma aku mahu kebenaran dan dakwah itu kukuh, bukan rapuh dengan kerja dakwah macai sebegini!

Semoga bermanfaat untuk dakwah kita. Untuk Allah SWT, supaya Allah SWT redha dengan kehidupan kita.

21/3/2014
1242 am
BaTar 4
Ruh kita sama, mari bekerja!